Wednesday, December 9, 2009

BERUSAHA MENUTUP PINTU FITNAH,

Suatu malam, ketika Rasulullah SAW sedang beri’tikaf di masjid, isteri baginda telah datang membawa makanan. Lalu baginda dan isteri berbual sebentar di pintu masjid.

Seketika, lalu dua orang sahabat dan melihat hal tersebut. Tidaklah mereka dapat melihat wajah susuk wanita yang bersama Rasulullah ketika itu kerana gelapnya malam. Kerana khuatir Rasulullah SAW sedar dan menganggap mereka sedang syak wasangka, mereka mempercepatkan langkah. Namun belum pun sempat mereka berlalu,kehadiran mereka disedari baginda, lalu mereka dipanggil. Mereka menuju ke arah baginda dalam keadaan gusar.

"Kenapa kalian cepat-cepat berjalan? Ini isteriku…" kata Rasul saw.

Cepat-cepat dua sahabat ini rasa bersalah dan meminta maaf.

"‘Ya Rasul ALLAH. Kami pasti ini isterimu. Sungguh kami tidak memikirkan yang bukan-bukan akan rasul utusan ALLAH swt"

Lalu Rasulullah saw tersenyum dan berkata,

"Aku tidak takutkan apa yang akan kepercayaan kalian. Tetapi aku amat takutkan pada syaitan yang mengalir di dalam badan manusia. Sungguh dia sentiasa akan meniupkan fitnah ke dalam hati-hati manusia."

Lihatlah betapa Rasulullah SAW sangat menjaga dan sentiasa berhati-hati dalam setiap perlakuannya. Baginda sedaya upaya untuk tidak mengetuk pintu fitnah apatah lagi membuka ruang fitnah kepada musuh yang nyata. Baginda menjentik kepantasan syaitan dalam menyuntik fitnah daripada merebak ke dalam hati dan kehidupan muslim. Kerana syaitan itu berupaya menghasut manusia dengan bisikan-bisakan jahatnya. Meniup nafsu manusia agar membara. Lalu jadilah manusia itu kroninya bagi mempromosi ‘kecantikan’ dunia di mata manusia.

Perilaku kita haruslah diteliti agar tidak disalah ertikan oleh mana-mana pihak walaupun adakalanya kita adalah benar dalam perlakuan. Dalam kecanggihan teknologi kini, fitnah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Antaranya provokasi yang terdapat pada tajuk-tajuk media, fotografi dan pelbagai lagi.

Gosip itu kini adalah hidangan ‘istimewa’, malah antara yang tertinggi permintaannya. Lihat sahaja rating rancangan TV yang hangat membualkan kisah dan ‘berita’ semasa artis serta permainan dunia yang lain. Hanya sedikit siaran keilmuan yang tampak tinggi nilai keilmuan dan inteleknya. Ya amat sedikit berbanding rancangan hiburan yang melalaikan. Dan yang sedikit itulah menjadi tontonan golongan yang amat sedikit bilangannya. Dan amat sedikityang berbual mengenainya. Sebaliknya, jika ditanya perihal artis dan hiburan yang lain, pasti sahaja ramai yang berkerumun bercerita. Malah lebih mengecewakan apabila golongan cerdik pandai juga turut menyatu dalam dunia hedonisme dan menyokong pembangunan industri picisan yang di gambarkan salah satu ketamadunan ilmu yang tinggi nilainya.

Tak mahu mengata orang, terkadang diri sendiri juga terjebak. Mohon keampunanNya selalu. Moga kita sentiada dalam peliharaannya.